Friday, July 24, 2009

Adakah kita berfikiran terbuka?

Masyarakat kita telah lama dididik supaya taat kepada orang tua dan orang-orang yang berjawatan. Semasa kecil kita diajar supaya tidak menyampuk orang tua bercakap malah nak tumpang dengar pun tak boleh.

Ketika belajar pula kita tak boleh soal banyak-banyak dan tak boleh persoalkan apa yang guru kita cakap. Kalau dipersoalkan kita akan dianggap kurang ajar. Akhirnya kita terus pendamkan apa yang terbuku di hati kita.

Kemudian apabila kita mula berkerja kita diajar lagi saya yang menurut perintah. Setiap surat yang datang akan di akhiri dengan ayat ini. Bila mesyuarat pula, apa yang di cadangkan oleh ketua akan terus disokong sepenuhnya. Kalau ada yang membangkang akan dicop kuat melawan dan lepas itu susahlah untuk kerja lagi.

Ketua tidak pernah dapat maklumat yang betul. Sebaliknya setiap usul yang dibawa akan disokong dan dipuji serta diampu dengan harapan untuk mendapat sesuatu dari ketua. Akhirnya ketua syok sendiri dan rasa apa sahaja ideanya pasti bagus.

Bos pula akhirnya tidak mahu lagi menerima pendapat yang berlawanan dengan ideanya. Jadi apa sahaja pendapat yang lain sikit dari pendapatnya tidak diterima dan jadilah semua pak turut. Sejak itu tidak ada lagi idea-idea yang bernas yang mampu memberikan hasil kerja yang terbaik. Berkerja sudah tidak lagi kerana Allah tapi kerana nak menjaga hati ketua. Niat dan keikhlasan berkerja sudah tidak lagi penting sedangkan itulah sebenarnya yang menjadi bekalan di akhirat kelak.

Persoalannya, jika kita tidak sependapat dengan seseorang samada ketua atau rakan sebaya, adakah ini bermakna kita tidak boleh lagi kerja bersama? Kenapa nak dikaitkan soal kerja dengan soal peribadi. Tidak sependapat tidaklah bermakna merosakkan hubungan dalam kerja tetapi inilah yang terbaik dalam menghasilkan mutu kerja yang terbaik. Tetapi berapa ramai antara kita yang menyedarinya….wallahua’lam..

No comments:

Post a Comment

IKLAN