Thursday, September 3, 2009

Ramadhan Bulan Kekuatan



Salman Al Farisi meriwayatkan hadith :


Rasululah SAW telah berpidato dihadapan kami pada hari akhir bulan Syaaban Baginda berkata : Wahai manusia kamu dinaungi oleh bulan agung yang penuh keberkatan iaitu bulan yang di dalamnya ada malam yang lebih baik dari seribu bulan , bulan yang ALLah menjadikan puasanya sebagai fardhu dan solat tarawikh di malam harinya sebagai sunat. Barangsiapa yang mengerjakan kebajikan di dalamnya (akan dibalasi) seperti orang yang mengerjakan fardhu di bulan –bulan yang lain. Manakala orang yang membuat fardhu (akan dibalasi ) seperti orang yang membuat tujuh puluh fardhu pada bulan –bulan yang lainnya . Dialah bulan bersabar , balasan bersabar itu adalah syurga dan bulan berkasih sayang dan bulan yang akan ditambah rezki orang yang beriman .”

(H.R Ibnu Khuzaimah di dalam kitab sahihnya )


Rasulullah mengatakan Ramadhan adalah bulan yang menaungi (أضال) kerana bulan ini merupakan bulan yang dijadikan Allah seolah-olah tempat bernaung atau berlindung dari sesuatu yang mengancam kita. Seperti nelayan yang terpaksa berlabuh di pulau-pulau kecil untuk berlindung dari ancaman ribut dan taufan dan memperbaiki kapal mereka yang rosak serta mencari bekalan-bekalan sebelum meneruskan semula pelayaran. Begitu juga dengan manusia setelah 11 bulan perjalanan hidup yang sarat dengan berbagai-bagai masalah, kita dijemput oleh Allah untuk berteduh di bulan Ramadhan.

Ramadhan adalah tempat rehat dari maksiat dan untuk mengembalikan semula kekuatan diri kita sebagai seorang muslim, sedangkan kekuatan mukmin itu adalah apabila berdamping dengan sumber kekuatan iaitu Allah. Allah berfirman dalam surah al-Zariyyat : 58 yang bermaksud:

"Sesungguhnya ALLAH Dialah pemberi rezeki yang mempunyai Kekuatan Yang Maha Kukuh".

Selain dari bertemu Allah lima kali sehari semalam, kita bertemu Allah sebulan terus menerus dan sudah pastilah kita akan menjadi bertambah kuat untuk menghadapi cabaran di bulan -bulan yang berikutnya. Oleh kerana itu, Allah telah memberikan pahala yang berganda-ganda agar menjadi motivasi kepada kita untuk beribadah kepadanya. Bahkan tidur orang berpuasa pun diberi pahala oleh Allah dan bau mulut orang berpuasa adalah terlebih harum dari bau kasturi. Semua galakkan ini adalah untuk memastikan kita tetap terus beribadat dan tidak mensia-siakan kehadiran bulan ini dengan tidak menambahkan amal ibadat. Jika demikian Mana Mungkin kita dapat kembali belayar ke lautan luas dengan keadaan kapal kita yang hampir bocor dan bekalan yang sudah kehabisan serta anak-anak kapal yang keletihan..



No comments:

Post a Comment

IKLAN