Wednesday, September 9, 2009

Tauhid Rubbubiyyah

Para ulama' Mutakallimin telah mengkelaskan tauhid kepada 3 jenis. Tujuan utamanya ialah untuk memudahkan pemahaman manusia dalam mengenal Allah swt. Walaupun ianya tidak diajar oleh Rasulullah saw tetapi ia sangat berguna untuk orang Islam dalam mengenal Allah swt dalam erti kata yang sebenarnya.

Tauhid dibahagikan kepada Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma' dan Sifat. Untuk kali ini saya akan membincangkan mengenai Tauhid Rubbubiyyah.

Tauhid Rubbubiyyah

Umumnya ia adalah berkenaan dengan segala perbuatan Allah terhadap hamba-Nya. Perbuatan atau af'al Allah seperti pencipta alam, pemberi rezeki, pemberi mudhorat, pengatur semua urusan dan segala-galanya tentang alam ini adalah berpunca daripada Allah swt. Tidak akan berlaku sesuatu perkara tanpa izin Allah. Tegasnya tauhid Rubbubiyyah ini meletakkan manusia agar mengakui dan menyakini bahawa tidak ada tuhan selain Allah dalam menciptakan seluruh alam dan mengakui hanya Allah taala sahaja pemilik mutlak terhadap alam secara keseluruhannya. Apa sahaja kehendakNya pasti akan berlaku dan tiada siapa yang mampu menghalang daripada berlaku. Ketundukkan dan keyakinan inilah yang dinamakan tauhid Rubbubiyyah.

Tauhid Rubbubiyyah secara mudahnya boleh diertikan mengenai perbuatan Allah terhadap makhlukNya. Tauhid ini dipercayai oleh semua manusia yang mempercayai kewujudan tuhan. Walaupun mereka tidak mengenal Allah dalam pengertian yang sebenar tetapi mereka tetap meyakini adanya suatu kuasa yang hebat yang menjadikan alam ini dan mentadbirkannya. Namun kepercayaan mereka ini tidak membawa mereka mengenal Allah kerana telah dikelirukan oleh agama-agama yang mereka anuti. Hanya Islam sahaja yang mampu mengenalkan manusia kepada Rabb sekelian alam dalam pengertian yang sebenarnya yang dikehendaki oleh-Nya.

Allah berfirman;

ولئن سألتهم من خلق السموت والأرض وسخر الشمس والقمر ليقولن الله فأنى يؤفكون

Maksudnya: Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka(yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk2nya)?" sudah tentu mereka akan menjawab : "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintah-Nya)?al-Ankabuut : 61

Secara umumnya tauhid ini diyakini oleh semua manusia yang masih mempercayai kewujudan tuhan. Namun bagi orang-orang yang tiada agama dan fahaman komunis yang pada dasarnya menolak agama dan kebertuhanan, mereka tidak mempunyai tauhid rubbubiyyah. Ini kerana mereka mengatakan alam ini terjadi dengan sendirinya tanpa ada pencipta dan kehidupan di dunia akan berterusan sampai bila-bila tanpa kesudahan. Bagi penganut agama lain selain Islam, mereka mempercayai juga tauhid rubbubiyyah ini. Bagaimanapun kepercayaan mereka tidak tauhid kerana mereka menyamakan Tuhan yang sebenar dengan samaan yang terdiri daripada patung-patung dan manusia yang mereka anggap sebagai tuhan.

Orang Kristian (dulu Nasrani) mengatakan Tuhan terdiri dari tiga oknum iaitu bapa, anak dan ruh suci yang masing mempunyai kuasa ke atas alam. Ini sangat berlawanan dengan Islam dan Yahudi yang menganggap hanya ada satu tuhan yang menguasai seluruh alam dan konsep rubbubiyyah ini yang diterima selama-lamanya.

Bagi penganut agama lain pula menganggap patung-patung sebagai perantaraan antara mereka dengan tuhan. Ini juga bersalahan dengan rubbubiyyah kerana Islam menolak penyamaan antara-Nya dengan makhluk.Syirik.

Dengan mempercayai konsep tauhid rubbubiyyah ini saya berpendapat orang Islam seharusnya memiliki sifat dan akhlak yang terpuji kerana mereka sebenarnya telah menyakini hanya Allah yang berkuasa semutlaknya ke atas diri mereka dan seluruh makhluknya. Allahlah yang mengaturkan segala-galanya. Allahlah yang menentukan segalanya. Allahlah yang memberikan segala-gala kepada seluruh makhluknya samada kita menyukainya atau membencinya.

Oleh yang demikian kenapa kita harus iri hati terhadap orang lain dengan kelebihan, kekayaan, kemasyhuran dan sebagainya yang dimiliki oleh mereka sedangkan kita mengetahui bahawa semua itu adalah pemberian Allah kepadanya. Jika kita tidak berpuashati dengan pemberian tersebut seolah-olah kita tidak berpuashati dengan pemberinya. Sedangkan pemberi tersebut adalah pemilik seluruh alam iaitu Allah swt. Mana mungkin kita boleh tidak puas hati kepada Allah sedangkan kehidupan kita ini pun adalah anugerah Allah yang tidak ternilai untuk kita.

Kita hidup dan merasakan nikmat kehidupan dan kelak Allah akan mematikan kita serta insyaallah kita akan dimasukkan pula ke dalam syurga (atas izinNya jua). Semua ini tidak pun menjadi taklif kepada Allah. Dia boleh menghidupkan dan boleh meniadakan kita semahunya. Jadi siapakah kita yang berani nak mempertikaikan kehendak Allah atas makhlukNya.

Namun realiti yang berlaku, masyrakat kita dan masyarakat lain sekalipun, perasaan tamak, irihati, hasad, dendam dan sebagainya sifat-sifat mazmumah kelihatan bermahajalela. Semua ini jelas kelihatan dalam masyarakat bagi yang mampu memikirkan. Ada yang tamakkan harta hingga sanggup berbunuhan, ada yang tamakkan kuasa hingga sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkannya dan mengekalkannya. Apa sahaja cara baik atau jahat, tuduh menuduh, bunuh membunuh, fitnah memfitnah, keji mengeji. Semua itu tidak lagi menjadi persoalan. Yang penting mereka dapat apa yang mereka inginkan. Rasuah sana rasuah sini, tak kira 10 ringgit atau berbilion ringgit semuanya dilakukan kerana tamak dan tidak puas dengan kurniaan Allah kepada mereka. Sedang mereka merasakan mereka boleh menongkat langit dan hidup selamanya, tetapi ingatlah mati itu sangat hampir dan di akhirat setiap amalan akan dihitung oleh Pemilik segala perhitungan. Wassalam


No comments:

Post a Comment

IKLAN