Monday, September 7, 2009

Toleransi Kaum : Kita Dimana?

Rasa teruja apabila membaca rencana tulisan Dr Aisar Yee Abdullah di Sinar Harian hari ini. Beliau mengupas dengan baik isu yang berlaku di Selangor sekarang. Isu kepala lembu, adakah ia sebenarnya melambangkan perpaduan kaum di Malaysia..
Kemudian perkara ini disentuh pula oleh Prof yang mengatakan perpaduan kaum di Malaysia hanyalah retorik semata-mata. Saya berpendapat isu seperti ada hikmahnya kerana ia sebenarnya menjelmakan apa yang terbuku dalam hati rakyat Malaysia yang sebenarnya. Selama ini apa yang diwar-warkan dalam iklan atau usaha kerajaan untuk perpaduan kaum tidaklah mengambarkan keadaan yang berlaku dalam masyarakat Malaysia. Masyarakat Malaysia masih terlalu tebal isu kaum dan bangsa. Ini bukan sahaja melibatkan kaum yang besar seperti Melayu, Cina dan India sahaja, bahkan di kalangan kaum Melayu sendiri masih menebal semangat kenegerian dan etnik tertentu.

Kalangan orang Melayu masih merasakan mereka tuan di bumi Malaysia, walaupun hakikat yang sebenarnya tidak lagi sedemikian. Pemilikan harta, perniagaan, perbandaran adalah dimiliki oleh kaum cina yang sememangnya sangat rajin dan tekun dalam berkerja. Walaupun kerajaan telah cuba untuk menyeimbangkan keadaan ini, tetapi kejayaannya tidaklah seberapa dan yang kaya hanyalah segelintir orang-orang politik sahaja. Ini kerana usaha kerjaan sahaja tidak mencukupi jika yang nak dibantu itu sendiri tidak bersungguh-sungguh dan tidak tulin dalam usaha mereka.

Orang Melayu masih mendapat keutamaan dalam bantuan kerajaan kerana kuasa politik setakat ini masih dipegang oleh orang Melayu. Kita tidak pasti sebenarnya apa yang akan berlaku jika kuasa yang ada berpindah ke tangan orang lain. Singapura adalah contoh terdekat yang banyak persamaan dengan Malaysia. Sebenarnya ini adalah kesan daripada penjajahan. Masyarakat Malaysia dibahagikan untuk memudahkan pemerintahan mereka dan tidak berlaku perhubungan secara langsung antara masyarakat. Kesannya sekarang masyarakt Malaysia tidak memahami antara satu sama lain dan ini adalah sangat berbahaya dalam konteks 'multi racial' di Malaysia.

Contohnya baru-baru ini, sekumpulan orang Melayu yang membantah pembinaan kuil di tempat mereka dan telah membawa kepala lembu yang sangat menghina kaum lain yang dalam kepercayaan mereka adalah binatang suci. Kalau orang menghina agama kita, kita berasa sangat marah tetapi kenapa kita cuba bermain api dengan menghina agama lain. Islam tidak pernah bersetuju dengan keadaan ini.

bersetuju dengan pandangan Dr Aisar, kenapa di Kelantan, rakyatnya boleh menerima sebuah kuil dengan patung Buddha terbesar di Asia Tenggara di kawasan penduduk Melayu 92%, sedangkan rakyat di sana bukanlah terdiri dari golongan terpelajar dan korporat seperti di Shah Alam. Hairan bagaimana orang bandar tidak begitu bertamadun dan memainkan sentimen agama dalam keharmonian yang dilaungkan kerajaan Malaysia iaitu 1Malaysia. Pada saya idea Dato' Seri Najib ini adalah suatu yang sangat bertepatan untuk melaksanakan dan menjelmakan perpaduan kaum yang sejati di kalangan rakyat Malaysia. Semoga berjaya kerana hidup dalam keadaan ke'bangsa'an ini tidak begitu selamat untuk perkembangan Malaysia seterusnya. Semoga kita belajar dari kesilapan dan tidak mempermudahkan serta tidak meretorikkan perpaduan kaum di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

IKLAN